Wednesday, May 31, 2017

AYAT 1

Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekelian makhluk,
(Al-Falaq 113:1)

Surah ini dimulakan dengan 'Qul' yang membawa maksud 'Katakanlah' kerana Allah telah perintahkan Rasul Nya berkata demikian. 'Falaq' pula adalah cahaya 'waktu Subuh' atau 'seluruh makhluk'. Kedua-dua pengertian ini sesuai dengan ayat-ayat Surah Al-Falaq yang seterusnya.

Sayid Qutub berpendapat boleh dipakai sama ada dengan pengertian :

"Aku mohon perlindungan pada Tuhan yang menjadi waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersebunyi." 

Atau menggunakan pengertian :

"Aku mohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk."

HANYA ALLAH PELINDUNG KITA

Kita telah mengetahui, Allah lah satu-satunya Dzat yang mampu memberikan manfaat dan menghilangkan mudharat dari diri kita. Jika demikian, maka hanya Allah lah tempat kita memohon pertolongan dan meminta perlindungan. Barangsiapa yang bergantung kepada selain Allah, nescaya dia akan ditelantarkan sebab hanya Dia satu-satunya tempat meminta perlindungan, meminta keselamatan dan tumpuan harapan.


Kepada Allah aku sembah, memohon pertolongan dan perlindungan mu

AYAT 2

"Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;
(Al-Falaq 113:2)

Berkenaan dengan ayat ini, ia adalah semua kejahatan yang diciptakan seperti Iblis dan keturunannya. Setiap makhluk di dunia mempunyai kebaikan dan kejahatan masing-masing. Menjadi lumrah kepada manusia sukakan kebaikan dan bencikan keburukan.

Perlindungan yang perlu kita pohonkan disini ialah dipelihara daripada kejahatan agar hanya kebaikannya sahaja yang tinggal. Hanya Allah mampu menapis unsur-unsur jahat daripada terus menganiaya umat manusia yang bergantung harapkepada Nya.

Kekejaman yang dilakukan oleh tangan manusia yang tidak berperikemanusiaan

Al-Maraghi mentafsirkan:
"Aku berlindung, memohon pelindung kepada zat yang menjadi Tuhan, semua makhluk, pencipta segala yang ada dari segala penyakit dan keburukan yang menimpaku antara salah satu makhluk daripada makhluk-makhluk seluruhnya."

AYAT 3

"Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;
(Al-Falaq 113:3)

Maksud ayat ini pula adalah 'matahari apabila tenggelam' atau 'malam yang berlabuh', kerana pada waktu itulah keluarnya binatang buas dan serangga juga berkeliarannya para penjahat. Iaitu daripada kegelapan malam ketika malam itu datang dan menutup segala sesuatu dengan kegelapannya.

Waktu malam yang gelap gelita itu mengerikan dan menimbulkan ketakutan kerana kegelapan malam menjadi tempat berlindung bagi orang jahat ketika bermaksud jahat dan kegelapan malam menolong bagi musuh.

Juga apabila malam mula menyelubungi pelbagai bentuk kejahatan mampu mengganggu manusia. Serangan binatang buas, gangguan ahli sihir, dianiaya dukun, perompak dan tergeraknya nafsu syahwat atas perkara yang jijik adalah sebahagian daripada bentuk kejahatan yang mungkin berlaku. Ini kerana kegelapan malam mendorong syaitan untuk mempergiatkan usaha menggugat iman manusia yang sudah sedia goyah.

AYAT 4

"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);
( Al-Falaq 113: 4)

Mujahid, Ikrimah, Al Hasan dan Qatadah mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah sihir. Mujahid mengatakan, "Apabila membaca mentera-mentera dan meniupkan (menyihir) diikatan tali"
(Tafsir Al-Quran Al 'Azhim)

Dalam ayat ini disebut dengan 'Nafatsaat iaitu tukang sihir wanita kerana umumnya yang menjadi tukang sihir adalah wanita. Namun ayat ini juga mencakupi tukang sihir lelaki dan wanita, jka yang dimaksudkan adalah sifat nufus (jiwa atau roh)
(Ruhul Ma'ani : Tafsir Juz 'Amma, 295)

Ilmu sihir dan ilmu hitam masih lagi diamalkan oleh sesetengah orang pada masa kini

Ketaksuban masyarakat kepada makhluk halus (jin, hantu dan seumpamanya) menyebabkan keimanan mereka terpesong lalu percaya bahawa kuasa itu mampu memberikan mereka 'sesuatu'. Sedang pada hakikatnya, ilmu sihir tidak lebih sekadar menipu pancaindera manusia agar timbul perasaan takut atau mungkin berharap. Sekiranya gejala ini tidak dibendung, maka manusia semakin hampir dengan melakukan maksiat terbesar diatas muka bumi iaitu syirik kepada Allah SWT.

AYAT 5

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya."
(Al-Falaq 113:5)

Hasad (Dengki) adalah berangan-angan hilangnya nikmat yang ada pada orang lain baik agar pindah kepada diri kita ataupun tidak. Allah menutup surah ini dengan hasad sebagai peringatan bahayanya perkara ini. Hasad adalah sifat yang memusuhi nikmat Allah.

Sifat dengki, suatu yang negatif dan sering timbul apabila seorang merasa dirinya kurang daripada individu yang lain. Ia boleh mengundang gejala yang lebih besar kerana si pendengki mungkin akan berbuat apa sahaja agar kelebihan tadi ditarik balik daripada pemilik asal tidak kira dengan apa kaedah sekalipun.



Atau, ia mungkin sekadar menimbulkan rasa cemburu. Walau apa sekalipun, sifat dengki harus dibuang atau mungkin kita boleh melatih diri untuk melakukan tindakbalas positif atas sikap ini. Sifat dengki seharusnya dijadikan pemangkin kearah mempergiatkan usaha supaya menjadi insan yang lebih baik.

Sebagai Ahli Hikmah mengatakan bahawa hasad itu dapat dilihat dari lima ciri:
Pertama : Membenci suatu nikmat yang nampak pada orang lain.
Kedua : Murka dengan pembahagian nikmat Allah.
Ketiga : Bakhil (kikir) dengan kurniaan Allah, padahal kurniaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.
Keempat : Tidak mahu menolong wali Allah (orang yang beriman) dan menginginkan hilangnya nikmat dari mereka.
Kelima : Menolong musuhnya iaitu iblis